Logo RAS - New

Logo RAS - New

January 13, 2011

PEMELIHARAAN BIODIVERSITI MELALUI PENDIDIKAN


Biodiversiti merupakan sistem sokongan hidupan antara satu sama lain. Ia merangkumi semua hidupan termasuklah tumbuh-tumbuhan, haiwan (invertebrata dan vertebrata), bakteria, kulat dan serangga.

Namun, kita harus mengimbangi pembangunan sesebuah negara agar biodiversiti ini tidak musnah akibat pengurusan pembangunan yang tidak lestari.

Melalui pendidikan, kita mampu menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar dalam memelihara biodiversiti bagi memastikan jangka hayat biodiversiti ini bertahan lebih lama. Pendidikan secara formal dan informal merupakan pendekatan yang terbaik dalam menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memelihara kepelbagaian biodiversiti ini.

Pendidikan Formal

1. Mata pelajaran sains dan biologi

Pengenalan biodiversiti dalam mata pelajaran sains atau biologi, secara tidak langsung, memberi pendedahan kepada para pelajar dalam mengenalpasti spesis haiwan dan tumbuhan, peranannya dalam kehidupan seharian dan kebaikan sesuatu spesis tersebut kepada manusia.

2. Aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum

Melalui aktiviti seperti mencipta syair, pantun, berpidato, ceramah, kuiz, projek kelas, penyediaan buku skrap, lukisan, permainan alam sekitar, kajian biodiversiti dan sebagainya dapat mendekatkan para pelajar kepada kepentingan dan keperluan biodiversiti dalam bentuk karya, ilustrasi atau objek yang menarik. Ini dapat menggalakkan para pelajar mempelajari dan menghayati kekayaan biodiversiti di dunia ini dengan lebih berkesan.

3. Penulisan biodiversiti

Dengan memperbanyakkan pembacaan artikel, jurnal, majalah alam sekitar dan dokumentari berkaitan dengan biodiversiti mampu menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam usaha memelihara biodiversiti di sekeliling kita. Selain itu juga, dengan memperbanyakkan penghasilan penulisan artikel berkenaan spesis hidupan atau tumbuhan dapat memupuk perasaan kasih sayang dan menghargai kepentingan kepelbagaian biodiversiti di dunia ini.

Pendidikan Tidak Formal

1. Lawatan luar

Dengan mengadakan sesi lawatan ke kawasan hutan simpan, taman negara, zoo negara, kawasan hutan bakau, taman burung dan taman herba dapat membantu para pelajar akan kepentingan fungsi biodiversiti dalam kehidupan seharian. Selain itu, lawatan-lawatan ke muzium biodiversiti seperti muzium siput, muzium hidupan akuatik, muzium spesis pokok dan muzium haiwan dapat menginsafkan diri kita betapa ruginya kita sekiranya kehilangan spesis-spesis yang berharga kepada negara akibat daripada kerakusan manusia dalam mengejar arus pemodenan dengan memusnahkan habitat asal spesis haiwan dan tumbuhan tersebut.

2. Aktiviti biodiversiti

Aktiviti seperti menanam pokok, penanaman semula pokok seperti pokok api-api dan perepat, pokok kayu jati, merbau dan sebagainya dapat mengembalikan semula kitaran biodiversiti akibat daripada pemusnahan hutan atau dari aktiviti pembalakan haram yang berleluasa. Ini secara tidak langsung dapat membantu bumi dalam misi pemuliharaan biodiversiti untuk jangka masa yang panjang.

3. Program kesedaran

Program-program kesedaran seperti aktiviti mengutip sampah sarap di kawasan persisiran pantai dan hutan simpan, mengitar semula barangan terpakai seperti botol plastik, kaca dan suratkhabar, menjalankan aktiviti pembersihan sungai dan pelbagai lagi aktiviti kesedaran mampu menarik masyarakat di negara ini untuk bersama-sama memelihara dan memulihara biodiversity dan alam sekitar dengan lebih berkesan.

Pemeliharaan biodiversiti amatlah penting kerana ia bukan sahaja membekalkan makanan dan minuman kepada manusia tetapi ia juga sebagai ubat-ubatan seperti tumbuhan herba dan gamat, menyediakan perkhidmatan ekologi seperti kitaran udara dan air, membekalkan bahan mentah untuk kegunaan industri seperti minyak, petrol, getah, fiber, resin, gris, aluminium dan sebagainya. Biodiversiti juga menjadi tempat riadah bagi seisi keluarga melalui aktiviti seperti bersenam dan melihat spesis burung. Keseimbangan biodiversiti harus dipelihara oleh generasi kini agar ia mampu bertahan untuk keperluan generasi kita yang akan datang.

1 comment:

Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!

KEMPEN KITAR SEMULA E-WASTE

Tahukah Anda ?



Kebanyakan mentol lampu, samada jenis pijar (incandent), berpendaflour (fluorescent) ataupun berpendaflour kompak mempunyai sedikit cecair merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang boleh mencemarkan tanah dan air bawah tanah.


Opportunity Green