KENYATAAN AKHBAR MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR MENGENAI
PEWARTAAN PERATURAN-PERATURAN KUALITI ALAM SEKELILING (UDARA BERSIH) 2014
Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 telahpun diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara pada 4 Jun 2014 dan mula berkuatkuasa pada 5 Jun 2014. Peraturan Udara Bersih ini digubal bagi mengawal pelepasan pencemar udara berpunca daripada pelbagai aktiviti perindustrian termasuk loji janakuasa, loji pembakar bahan buangan dan loji pencampuran asfalt. Peraturan ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar. Peraturan baru ini adalah bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 1978 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Dioksin dan Furan) 2004.
Pelepasan pencemar udara daripada punca-punca seperti tersebut diatas merupakan salah satu punca yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Oleh itu, sistem kawalan yang berteknologi tinggi dan berkesan perlu dilaksanakan oleh pihak industri bagi mengawal dan mempertingkatkan kualiti udara demi menjamin kesihatan dan keselamatan orang awam.
Oleh itu, pendekatan baru yang digunapakai dalam peraturan ini adalah dengan mengambil kira kemajuan teknologi kawalan terkini, standard yang digunapakai oleh negara serantau dan negara maju. Penambahbaikan kepada kaedah penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan secara berterusan adalah tumpuan yang akan diberikan dalam menguatkuasakan peraturan udara bersih yang baru ini. Penekanan kepada langkah-langkah pencegahan juga diintegrasikan dalam peraturan baru ini seperti keperluan pemantauan kendiri dan budaya penyelenggaraan secara berterusan di kalangan industri.
Pewartaan dan penguatkuasaan peraturan udara bersih yang baru ini akan menjamin pengurusan alam sekitar yang lestari selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai tahap negara maju pada tahun 2020.
Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 boleh dirujuk di laman sesawang Jabatan Peguam Negara.
Pejabat YB Menteri
Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar
06 Jun 2014
Dapatkan salinan anda di Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 .
~Kami Mahu Gaya Hidup Lestari~
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!