MUHYIDDIN berkata sesuatu selepas memberi ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Koh (tiga dari kanan), Jamil Khir (kiri), Liew (dua dari kanan) dan Idris.
UTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu dasar dan program pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dipertingkatkan bagi menjamin khazanah kepelbagaian bio yang dimiliki negara dipertahankan untuk generasi akan datang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu juga penting bagi mengelak bencana alam melanda negara ini.
"Walaupun sudah ada pelan tindakan yang disediakan, kita masih melihat sikap dan rasa kurang bertanggungjawab mengenai alam sekitar yang masih berlaku."
"Gunung dan bukit kita ditarah, hanya tinggal pohon-pohon yang sudah terkulai, sungai masih terus tercemar dan tasik-tasik yang kita bangga dulu sudah dirosakkan oleh perbuatan manusia," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari, semalam.
Hadir sama tiga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Idris Jala. Turut serta Timbalan Menteri di JPM, Datuk Liew Vui Keong, Datuk SK Devamany, Datuk T Murugiah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, memandangkan Malaysia adalah sebuah daripada 10 negara di dunia yang kaya dengan kepelbagaian bio yang tinggi nilainya, perhatian yang istimewa seharusnya diberikan untuk memastikan keadaan alam sekitar sentiasa dilindungi dan dipulihara.
"JPM yang terbabit secara langsung dan tidak langsung bagi memastikan langkah pemuliharaan dan pemeliharaan kepelbagaian bio itu dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat juga perlu berusaha untuk mengurangkan gas rumah hijau dan mengurangkan pencemaran serta mengambil langkah untuk menjimatkan penggunaan tenaga khususnya di bangunan kerajaan.
"Putrajaya mungkin boleh jadi contoh," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menyatakan komitmen Malaysia untuk menghulurkan apa saja bentuk bantuan dan pertolongan diperlukan bagi meringankan beban usaha menyelamat yang sedang dijalankan akibat gempa bumi yang melanda Padang, Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!