Logo RAS - New

Logo RAS - New

October 6, 2009

Tarah bukit punca banjir lumpur

Syarikat pengurusan tanah perkuburan Cina langgar syarat operasi

SENGGARANG: Syarikat pengurusan tanah perkuburan Cina di Batu 4 1/2, Jalan Minyak Beku, di sini, perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan keselesaan penduduk sekitarnya terpelihara.

Antara syarat itu, pihak terbabit perlu membina sistem saliran yang sempurna bagi mengelak limpahan air ketika musim hujan, membina dinding penahan tebing bukit dan menyediakan zon penampan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang, Ja'affar Hashim, berkata syarat itu ditetapkan kerajaan negeri ketika meluluskan permohonan untuk menjadikan kawasan itu sebagai tapak perkuburan pada 2004.

Bagaimanapun, katanya, syarikat terbabit didapati tidak mematuhi syarat itu apabila menarah lereng bukit sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

"Perbuatan syarikat itu menggondol bukit menyebabkan penduduk berhampiran menjadi mangsa apabila dilanda banjir lumpur setiap kali hujan lebat sejak enam bulan lalu.

"Penduduk yang tidak berpuas hati membuat beberapa siri bantahan dan saya akui memang wajar penduduk membantah kerana keselesaan hidup mereka kini terganggu," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Adun Senggarang di Dewan Terbuka Senggarang. Hadir sama, Adun Rengit, Ayub Jamil dan Adun Penggaram, Koh Chee Chai.

Ja'affar berkata, berikutan itu beliau membawa penduduk menemui Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, baru-baru ini untuk mengadu masalah yang mereka hadapi itu.

"Hasil pertemuan itu, Menteri Besar mengeluarkan arahan kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Jabatan Kerja Raya supaya memantau kerja tanah yang dilakukan syarikat itu supaya ia mematuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

Ja'affar berkata, berikutan bantahan berterusan penduduk sejak beberapa tahun lalu, kelulusan pembakaran mayat di tapak perkuburan itu kini dibatalkan.

"Syarikat itu kini hanya dibenarkan menguburkan mayat, bukan lagi membakarnya kerana ia jelas mengganggu ketenteraman penduduk sekitar ekoran kedudukannya yang berdekatan dengan kediaman.

“Saya juga akan terus memantau aktiviti mereka selain berjumpa dengan pengurusan kubur itu bagi memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan," katanya.

Sebanyak 15 rumah penduduk berada berhampiran dengan tanah perkuburan seluas tiga hektar itu.

Berita Harian 06.10.2009

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!

KEMPEN KITAR SEMULA E-WASTE

Tahukah Anda ?



Kebanyakan mentol lampu, samada jenis pijar (incandent), berpendaflour (fluorescent) ataupun berpendaflour kompak mempunyai sedikit cecair merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang boleh mencemarkan tanah dan air bawah tanah.


Opportunity Green