Logo RAS - New

Logo RAS - New

May 25, 2012

KELESTARIAN ALAM SEKITAR DALAM PERSPEKTIF ISLAM

Manusia mempunyai peranan penting dalam menjaga kelestarian alam. Ajaran Islam menuntut umatnya memelihara alam sekitar dan bukannya melakukan kemusnahan. Apakah peranan kita sebagai individu dalam menjaga dan memulihara kelestarian alam sekitar? Kelestarian adalah keadaan (hutan, persekitaran dan lain-lain) yang tidak berubah atau yang terpelihara seperti asal. Kebelakangan ini, alam sekitar semakin diancam dari pelbagai sudut oleh aktiviti manusia yang memungkinkan kelestariannya terganggu.             

Sesungguhnya, Allah s.w.t. telah memperakui hakikat ini melalui firmannya bermaksud: Melalui ayat ini, terdapat penegasan daripada Allah s.w.t. bahawa pelbagai kerosakan yang terjadi di daratan dan di lautan adalah akibat perbuatan manusia. Hal tersebut hendaklah disedari oleh umat manusia dan kerananya manusia harus segera menghentikan perbuatan yang menyebabkan timbulnya kerosakan di daratan dan di lautan dan menggantinya dengan perbuatan baik dan bermanfaat untuk kelestarian alam.Islam menggesa umatnya supaya menguruskan alam sekitar dengan baik dalam menunaikan amanah yang dipikulnya. Kerakusan manusia dalam mengeksploitasikan alam sekitar seharusnya dihindarkan sebagaimana firman Allah s.w.t.: 

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan
yang benar).” (Surah Ar-Rum ayat 41) 

"Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi".
(Surah Al-Baqarah ayat 11)
 
“Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan
kerosakan di bumi.
(Surah As-Syuara ayat 1

Islam merupakan agama yang memandang alam sekitar sebagai bahagian yang tidak dipisahkan dari keimanan seseorang terhadap Tuhannya, dengan manifestasi dari keimanan seseorang dapat dilihat dari perilaku manusia, sebagai khalifah terhadap alam sekitarnya. Ilmu pengetahuan sangat penting dalam melestarikan alam sekitar. Melalui ilmu, umat manusia akan berfikiran lebih terbuka, kritis dan celik pengetahuan dalam memastikan alam sekitar kekal terpelihara. Kita perlu mempromosikan ilmu dan kefahaman tentang alam sekitar dengan meluas. Mereka yang arif tentang alam sekitar perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha mendidik masyarakat bahawa alam sekitar dan yang berkaitan dengannya berfungsi secara kait mengait dalam satu kitaran.

 Agama Islam menitikberatkan akhlak sebagai teras hubungan antara manusia, alam dan Tuhan. Akhlak amat penting terutama sekali ke arah pengurusan alam sekitar. Akhlak yang mulia adalah akhlak yang mengarahkan ke arah kebaikan dan keharmonian. Sifat-sifat mulia seperti kasih sayang, sifat suka menjaga kebersihan dan bertanggungjawab amat penting dalam menjaga alam sekitar dengan sebaiknya. Kemuliaan akhlak berkaitan kebersihan telah disentuh oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sebuah hadis yang bermaksud: 

“Kebersihan itu sebahagian daripada iman”.
 
Konsep manusia sebagai khalifah pula menunjukkan bahawa alam sekitar ini merupakan hak Allah dan ciptaan-Nya yang perlu dipelihara. Alam sebagai amanah Allah s.w.t. untuk umat manusia 

 menjaganya merupakan tanda yang tersirat atau simbol tentang kebesaran, kekuasaan dan anugerah Allah s.w.t. yang tidak ternilai. Alam sekitar yang diciptakan Allah s.w.t. mempunyai peranan masing-masing yang memenuhi tuntutan berikut:
sebagai tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t.;
sebagai hadiah daripada Allah s.w.t. kepada makhluknya untuk dimanfaatkan umat manusia;
sebagai gedung ilmu yang sentiasa tersedia untuk dikaji dan digali rahsia khazanah ilmunya.
 
Sebarang perlakuan yang dilakukan oleh manusia akan dihisab oleh Allah s.w.t., sama ada perbuatan baik atau jahat. Setiap amalan baik perlu dilakukan sebagai satu ibadah kepada Allah s.w.t. Oleh itu, menjaga kelestarian alam sekitar juga merupakan satu ibadah kerana perbuatan ini menjamin kesejahteraan umat manusia dan seluruh alam. Menurut ramai ulama, walaupun menjaga alam sekitar ini adalah fardu kifayah, namun, bagi mereka yang berilmu pengetahuan tentang alam sekitar dan bekerja dalam pengurusan alam sekitar, tugas ini adalah fardu ain. Sesungguhnya adalah menjadi tanggungjawab umat Islam dan seluruh manusia untuk memastikan alam sekitar itu kekal lestari bagi menjamin kesejahteraan hidup seterusnya menjamin ketamadunan bangsa.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!

KEMPEN KITAR SEMULA E-WASTE

Tahukah Anda ?



Kebanyakan mentol lampu, samada jenis pijar (incandent), berpendaflour (fluorescent) ataupun berpendaflour kompak mempunyai sedikit cecair merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang boleh mencemarkan tanah dan air bawah tanah.


Opportunity Green