Logo RAS - New

Logo RAS - New

December 29, 2010

USAHA PANASONIC MELESTARIKAN ALAM SEKITAR


Ketika memulakan perniagaannya pada tahun 1918, pengasas Matsushita Electric Housewares Manufacturing Works (kini dikenali sebagai Panasonic Corporation) yang berpusat di Osaka, Jepun, Tan Sri Konosuke Matsushita, sentiasa menjadikan sikap merendah diri sebagai aspek utama dalam perniagaan.

Malah, keuntungan dijadikan sebagai faktor kedua dalam perniagaan. Permintaan pelanggan diutamakan.

Falsafah itu bukan dipraktikkan ketika itu sahaja, tetapi terus menjadi falsafah pengurusan Panasonic hingga ke hari ini. Atas dasar itulah, sempena ulang tahun ke-100 pada 2018, Panasonic mengambil ketetapan untuk menjadi peneraju syarikat inovasi hijau dalam industri elektronik.

Ia sebagai menyahut usaha pemuliharaan alam sekitar secara global.

Ini termasuk Inovasi Kehidupan Hijau yang akan memperkayakan kehidupan manusia melalui pelbagai idea Panasonic dan Inovasi Perniagaan Hijau yang dilihat akan mengurangkan kesan kemusnahan alam sekitar melalui operasi dan mempromosikan gaya perniagaan mesra alam kepada komuniti global.

Matsushita pernah berkata : “Untuk mengenal pasti tanggungjawab kita sebagai pemain industri, kita perlu menghambakan diri kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat serta kebajikan orang ramai melalui aktiviti perniagaan kita. Ini akan meningkatkan kualiti kehidupan di seluruh dunia”.

Itulah sebabnya, Panasonic kini menumpukan usaha dalam melestarikan alam sekitar melalui pelbagai cabang perniagaannya, termasuk dalam pemasaran produk hijau menyeluruh mereka yang bakal menyaksikan 30 peratus penguasaan di pasaran global.

Dengan isu alam sekitar global yang semakin ketara, Panasonic merasakan sudah sampai masanya mereka melakukan sesuatu dengan lebih berkesan dan bukan hanya mengeluarkan produk-produk hijau sahaja.

Menurut Presiden Panasonic, Fumio Ohtsubo, perniagaan utama Panasonic ialah untuk memastikan kehidupan orang ramai selamat, selesa dan lebih berkualiti.

“Ini merupakan falsafah utama pengurusan Panasonic. Untuk mencapai sasaran berkenaan kami perlu menjalankan pelbagai penyelidikan pengguna di seluruh dunia.

“Dengan cara itu kami akan berjaya untuk memahami secara terperinci mengenai cara hidup dan juga tabiat mereka. Ia untuk memudahkan kami mengeluarkan satu-satu produk,” katanya pada forum Visi Korporat 2018 dan Pelan Hijau 2018 bersempena Pameran Bersama Teknologi Lanjutan (CEATEC 2010) di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Malah kata Ohtsubo, pendekatan ke arah apa yang diingini oleh orang ramai termasuk penggunaan teknologi dan inovasi hijau juga merupakan salah satu legasi yang ditinggalkan Matsushita.

“Mendiang Matsushita Berjaya mencipta soket penyambung yang ketika itu sebenarnya amat diperlukan oleh masyarakat Jepun.

“Ini berikutan ketika itu (1917), satu-satunya bekalan elektrik hanyalah di bahagian bumbung yang membekalkan elektrik kepada lampu.

“Disebabkan tiada soket bekalan elektrik seperti yang ada sekarang, ramai tidak mampu menggunakan peralatan elektrik lain.

“Atas inisiatif itu, mendiang Matsushita mencipta soket penyambung yang boleh menyambung laluan bekalan elektrik di bumbung dengan mana-mana peralatan elektrik,” katanya.

Usaha itu sebenarnya kata Ohtsubo, menjadi titik tolak kepada kemajuan Panasonic sekarang. Malah inovasi hijau yang ditekankan juga merupakan satu usaha yang amat dimahukan oleh Matsushita.

“Beliau mahu semua yang ada di Panasonic mendahulukan masyarakat dalam membangunkan produk.

“Isu alam sekitar global yang semakin merosot yang akan memberikan kesan mendalam kepada orang ramai secara global juga telah menyebabkan kami mahu menjadi peneraju utama atau nombor satu sebagai Syarikat Inovasi Hijau,” katanya.

Namun kata Ohtsubo, inovasi hijau itu bukan isu baru kepada Panasonic kerana pada April 2007 mereka telah melancarkan asas alam sekitar, eco ideas.

Menurut beliau, eco ideas merupakan satu symbol yang mewakili komitmen, inisiatif dan sikap mereka ke arah pemuliharaan alam sekitar pada semua sektor dan peringkat di Panasonic.

“Usaha paling utama eco ideas ini akan kami terjemahkan melalui visi ke arah menjadi peneraju sebagai Syarikat Inovasi Hijau global pada tahun 2018 yang juga menyaksikan ulang tahun ke-100 Panasonic sejak ditubuhkan oleh mendiang Matsushita,” katanya.

Usaha itu kata Ohtsubo, menyaksikan mereka kini berjaya bergabung dengan Sanyo Electric Co. (Sanyo) pada Disember 2009 dalam merealisasikan hasrat menjadi peneraju global Syarikat Inovasi Hijau.

Ini menurut beliau, disebabkan kepakaran Sanyo dalam bateri caj semula dan sistem tenaga solar membolehkan satu gabungan dengan kepakaran Panasonic yang mampu menghasilkan produk dengan teknologi hijau yang lebih mantap.

“Walaupun produk-produk audio visual Sanyo terpaksa ‘dikorbankan’ dalam tempoh yang panjang, kami dapat merasakan gabungan ini mampu membawa Kumpulan Panasonic ke arah Syarikat Inovasi Hijau yang lebih berkesan,” katanya.

Selain gabungan itu, Ohtsubo turut menerangkan mengenai Pelan Hijau 2018 di mana antara perkara yang diambil kira ialah mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2).

Menurut beliau, dalam mengurangkan pelepasan CO2, Panasonic mengambil pendekatan di mana pada tahun 2018,pelepasan CO2 akan berada pada kemuncaknya iaitu 120 juta tan dan ia kemudian akan dikurangkan sehingga mencapai tahap sifar.

“Pengurangan pelepasan ini akan kami lakukan pada semua aktiviti pembuatan dan juga produk yang akan dikeluarkan, bermaksud di peringkat kami dan juga di peringkat pengguna,” katanya.

MENUJU SIFAR CO2


Dalam merangka Pelan Hijau 2018 untuk mengurang dan seterusnya memperoleh kelayakan sifar pelepasan karbon dioksida (CO2), Panasonic Corp. (Panasonic) telah mengambil beberapa langkah termasuk memperkenalkan dan mempromosikan inovasi teknologi dan pembangunan produk jimat tenaga.

Syarikat itu juga membangunkan produk jimat tenaga dan produk penghasilan tenaga yang diperbaharui sebagai tanda tanggungjawab mereka dalam memperkenalkan produk yang mudah dikendalikan oleh pelanggan di seluruh dunia.

Sebab itu kata Pengarah Bersekutu, Divisyen Hal Ehwal Korporat Alam Sekitar Panasonic, Machiko Miyai, mereka akan memastikan barangan yang dihasilkan mematuhi piawai pelepasan CO2 semasa digunakan pelanggan.

“Ia bagi membolehkan hasrat kami untuk mengurang dan menghentikan pelepasan CO2 berjaya,” katanya.

Miyai turut menegaskan, dalam mengurang dan menghentikan terus pelepasan CO2, Panasonic turut melakukan beberapa aktiviti ekologi untuk memulihara biodiversiti termasuk menanam pokok dan sebagainya.

Menurut Miyai, teras perniagaan Panasonic ialah mengeluarkan produk yang menggunakan kuasa elektrik.

Maka atas dasar untuk mengatasi pemanasan global dan lain-lain masalah alam sekitar, mereka mula mengeluarkan produk yang mampu menghasilkan bekalan tenaga elektrik kepada pengguna secara mudah.

“Semua ini dilakukan dengan pelepasan CO2 yang paling minimum atau mungkin tiada langsung. Inilah yang akan memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menikmati penggunaan produk yang lebih mesra alam tanpa menjejaskan keselesaan kehidupan seharian,” katanya.

Miyai turut menerangkan, ketika giat mempromosikan konsep sifar pelepasan CO2 kepada pengguna, mereka turut akan membangunkan penyelesaian penuh untuk sebuah bandar dan kemudian akan dipanjangkan ke seluruh dunia.

“Ini dapat direalisasiikan melalui pelbagai inisiatif termasuk bekerjasama dengan penggerak utama dalam sel solar dan sel bahan api,” katanya.

Sementara Presiden Panasonic, Fumio Ohtsubo berkata, mereka berkemamppuan meningkatkan perniagaan dalam Sistem Perniagaan Tenaga kepada 3 trilion yen (RM115.1 bilion) atau lebih pada 2018.

“Di peringkat kami, semua pengurusan, kilang-kilang pembuatan dan syarikat bersekutu akan mensasarkan untuk pengurangan pelepasan CO2.

“Manakala di pihak pengguna, mereka akan menggunakan produk kami yang akan melepaskan CO2 dengan kadar yang amat minimum atau tiada langsung,” katanya.

Selain itu kata Ohtsubo, penggunaan bahan kitar semula akan ditingkatkan kepada 16 peratus atau lebih dalam penggunaan sumber keseluruhan.

Malah, pihaknya akan turut memastikan semua kilang Panasonic tidak menghasilkan sebarang pembuangan dan jika ada pun ia disasarkan kepada 99.5 peratus atau lebih bahan yang dikitar semula.

Ohtsubo menambah, mereka juga akan mereka cipta produk yang tidak menggunakan air yang banyak selain mengurangkan penggunaan air pada semua aktiviti pembuatan dan meningkatkan penggunaan air yang dikitar semula.

Namun yang paling utama kata beliau, ialah kerjasama dengan masyarakat setempat dan global melalui beberapa inisiatif hijau.

Maklumat eco ideas Panasonic boleh diakses melalui laman web http://panasonic.net/eco/ecoideas/html.

December 28, 2010

TEKNOLOGI ‘JANAKUASA MINI PANASONIC’ ALTERNATIF TENAGA HIJAU

Panel solar serap cahaya matahari inisiatif baru kurangkan penggunaan bekalan elektrik di rumah, kilang.

Pernahkah kita terfikir jumlah sebenarnya tenaga elektrik yang diperlukan untuk sebuah rumah atau bagi menampung operasi perniagaan sehari ?

Jika diambil kira dengan menggantikan kesemua lampu kepada lampu diod pemancar cahaya (LED), perkakasan elektrik yang menggunakan sistem pintar untuk pengurusan tenaga yang cekap disokong teknologi ‘inverter’ dan deria pengesan kehadiran manusia.

Pastinya jumlah voltan yang digunakan sehari mampu dikurangkan pada tahap minimum tanpa mempengaruhi keselesaan dan kualiti seharian hidup pengguna mahupun kecekapan operasi perniagaan pihak industri.

Inisiatif mengurangkan penggunaan tenaga elektrik ini seterusnya akan membuka laluan kepada pengguna mencuba pula teknologi tenaga hijau dan boleh diperbaharui sebagai panel solar dan kincir angin untuk dipasang di rumah kediaman mahupun kawasan perindustrian masing-masing.

Penggunaan ‘janakuasa elektrik mini’ yang menghasilkan tenaga hijau dan boleh diperbaharui itu bakal member manfaat besar kepada pengguna bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik berpunca daripada pencawang atau grid nasional serta jaminan kelangsungan bekalan yang diperlukan seisi rumah atau operasi perniagaan.

Bahkan penggunaan jana kuasa mini ini turut memberi peluang kepada pengguna untuk menjana pendapatan sebagai penyumbang dan penghasil tenaga boleh diperbaharui dengan menyambungkannya kepada pencawang utama atau grid nasional menerusi insentif yang sedang dalam kajian kerajaan.

Justeru, menyedari potensi itu, langkah Panasonic Corp memperkenalkan penyelesaian lengkap teknologi tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui di pasaran tahun depan sememangnya dialu-alukan dan bakal memberi manfaat besar khususnya kepada alam sekitar, pengguna individu dan pihak industri.

Perbezaan ini meletakkan gergasi elektronik Jepun itu setapak ke hadapan berbanding peserta industri elektronik lain apabila berupaya menawarkan empat teras utama teknologi elektronik masa kini iaitu produk penghasilan tenaga, produk penjimatan tenaga, produk penyimpan tenaga dan sistem pengurusan tenaga yang efektif.

Bahkan untuk pertama kalinya kesemua produk itu akan dipamerkan di pameran dan persidangan Teknologi Hijau dan Produk Ekologi Antarabangsa (IGEM) 2010 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 14 Oktober di Pusat Konvensyen KLCC.

Khususnya bagi teknologi panel solar, pengguna berpeluang untuk melihat lebih dekat produk baru itu di IGEM 2010 apabila ia untuk pertama kalinya dipertontonkan kepada pengguna selepas pengambilalihan Sanyo Electric oleh Panasonic Corp daripada gergasi Wall Street, Goldman Sachs.

Antara teknologi menarik yang akan diperkenalkan adalah produk panel solar photovoltaic HIT, perkakasan elektrik inverter, stor penyimpan tenaga seperti bateri dan fuel cell dan sistem komputer pengurusan tenaga seperti yang dimuatkan dalam rumah-eko.

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn. Bhd., Jeff Lee berkata, kesemua produk yang dipertontonkan itu adalah hala tuju syarikat yang baru selaras dengan sasaran untuk menjadi syarikat berteraskan teknologi hijau menjelang 2018 sempena ulang tahun ke-100 Panasonic.

Katanya, sebelum ini Panasonic hanya mengeluarkan produk teknologi pintar yang menjimatkan tenaga namun pengambilalihan itu akan melengkapkan hasrat menjadi syarikat berasaskan teknologi hijau menerusi keupayaan tambahan membangunkan dan mengeluarkan panel solar.

KEMPEN ‘GO GREEN’ SWASTA DIGESA BANTU JAGA ALAM SEKITAR


BANDARAYA MELAKA, 5 Dis. – Agensi swasta disarankan bersama-sama merialisasikan usaha Kerajaan negeri dalam menjaga alam sekitar selaras dengan Melaka Maju 2010 Negeri Bandar Teknologi Hijau.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Asmah Abd. Rahman berkata, pemeliharaan alam sekitar adalah penting bagi setiap individu bagi mengelakkan bencana alam seperti banjir, kemarau serta tanah runtuh yang kerap berlaku pada masa kini.

“Bencana-bencana alam ini berpunca dari kerakusan, kealpaan, kalalaian serta sikap tamak manusia itu sendiri sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan juga kemusnahan alam sekitar,” tegasnya.

Asmah berkata demikian semasa berucap di majlis Pelancaran Kempen ‘Bring Your Own is Eco by Tupperware’ di Taman Melaka Raya pagi tadi.

Hadir sama isteri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datin Wira Halimah Baba ; Ketua Wanita UMNO bahagian Bukit Katil, Datuk Hazizah Sultan ; Pengarah Jualan Tupperware Malaysia, Chaw Ying Hong dan Pengurus Cawangan Tupperware Melaka Raya, Kalsom Nordin.

Asmah memberitahu, isu alam sekitar menjadi topik perbincangan di kalangan semua lapisan masyarakat sehingga melibatkan para pemimpin dunia termasuk Malaysia dan Melaka.

“Sehinggakan beberapa perjanjian persefahaman di peringkat antarabangsa telah dimetrai bagi menjaga dan memelihara alam sekitar malahan ada segelintir kumpulan masyarakat yang sanggup membuat demonstrasi secara aman bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat dunia mengenai pentingnya pemeliharaan alam sekitar,” tambahnya.

Sementara itu, Kalsom memberitahu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menangani isu alam sekitar melalui produk-produk yang dikeluarkan oleh Tupperware.

“Tupperware sebenarnya telah lama mengamalkan ‘GoGreen’ ini dan kempen ini memberi peluang kepada kami untuk bersama-sama menyahut seruan kerajaan dalam pemeliharaan alam sekitar,” jelasnya.

BANDAR TEKNOLOGI HIJAU HAMPIR TERCAPAI


Kilang buat panel solar terbesar AS mula operasi sepenuhnya hujung 2010

ALOR GAJAH 5 Dis. – Matlamat kerajaan negeri ke arah menjadi Bandar teknologi hijau menjelang 2020 semakin hampir apabila kilang membuat panel solar terbesar daripada Amerika Syarikat, AUO Sunpower dijangka memulakan operasi sepenuhnya hujung bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ketika ini kilang yang dibangunkan di Melaka World Solar Valley di Taman Perindustrian Rembia dekat sini itu telah 96 peratus siap dan memulakan operasi pengeluarannya.

Katanya, projek pembinaan kilang di fasa pertama dan kedua yang mempunyai seramai 1083 pekerja termasuk 200 jurutera telah pun 96 peratus siap, manakala kilang kedua yang juga mempunyai dua fasa dijangka siap tidak lama lagi.

“Setakat ini, saya difahamkan, AUO Sunpower sudah pun memulakan penegluarannya secara berperingkat sejak September lalu.

“Syarikat itu juga telah membuka peluang pekerjaan kepada hampir 2000 pekerja dalam pelbagai kategori jawatan di kilang berkenaan,” katanya selepas mengadakan lawatan selama sejam ke kilang itu di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasan Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md. Yunos Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka, Ramli Mohd Ali dan Naib Presiden AUO Sunpower, Robert Vinje.

AUO Sunpower yang beroperasi di kawasan seluas 172.8 hektar dengan nilai pelaburan mencecah sehingga RM3.2 bilion itu membuktikan Melaka World Solar Valley yang mempunyai potensi tinggi untuk terus berkembang.

Ini dapat dibuktikan apabila sehingga kini, sebanyak 162 lot perindustrian berjaya dijual oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) kepada pelabur termasuk beberapa syarikat vendor AUO Sunpower yang terbabit dalam pengeluaran wayar serta kabel.

Sementara itu, Robert ketika ditemui berkata, kerja-kerja pembinaan kilang berkenaan mempunyai empat fasa dengan kilang pertama yang mempunyai dua fasa akan siap sepenuhnya hujung bukan ini.

“Kita juga mempunyai kilang kedua yang turut mempunyai dua fasa dan kerja-kerja pembinannya kini berjalan lancer tetapi masih belum dapat dipastikan bila ia akan dapat disiapkan sepenuhnya.

“Ini disebabkan, pihak syarikat masih menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan penbangunan (R&D) terhadap kilang kedua itu,” katanya.

TANAM POKOK BAKAU KURANGKAN HAKISAN


Program ‘Love Green’ di Pulau Burung, Pantai Cahaya Negeri

PORT DICKSON : Sebanyak 1550 pokok bakau ditanam sempena program ‘Love Green’ bagi mengurangkan hakisan tanah di Pulau Burung, Pantai Cahaya Negeri, dekat sini sekali gus menunjukkan rasa cinta kepada alam semula jadi.

Program anjuran Pertubuhan Perindustrian, Lanjutan Rohaniah dan Kebudayaan Antarabangsa (OISCA) dengan kerjasama Landskap Malaysia dan Sekreteriat Malaysia Prihatin itu disempurnakan oleh Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah.

Hadir sama pada program itu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga penasihat Landskap Malaysia ; Timbalan Presiden OISCA Malaysia, Ibrahim Ahmad dan wakil OISCA Jepun, Yoshinori Miyajima.

Sebelum itu, program sama diadakan di Hutan Simpan Bandar Utara Sungai Kajang, Kuala Selangor, Selangor pada Julai lalu.

Ibrahim berkata, selain menyokong dasar kerajaan dalam menjayakan Kempen Menanam Pokok Bakau oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, program itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memulihara alam semulajadi untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, ia turut menunjukkan OISCA mempunyai kesedaran dan tahap kecintaan yang tinggi terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan memelihara dengan baik supaya kitaran alam terus konsisten mengikut ekosistem.

“Saya berharap program menanam pokok bakau ini menjadi antara usaha penting bagi mengurangkan hakisan tanah yang boleh mengubah struktur permukaan kawasan perairan terutama lokasi pelancongan yang boleh membantu meningkatkan aktiviti pelancongan dan kemasyarakatan,” katanya pada Projek Tanaman Pokok Bakau di Pulau Burung, Pantai Cahaya Negeri,di sini.

Katanya, tujuan utama pokok ditanam bagi mengelak daripada berlaku malapetaka dunia yang boleh mengorbankan banyak nyawa dan memusnahkan harta benda hingga membantutkan perkembangan ekonomi, sosial dan budaya sesebuah Negara.

Oleh itu, katanya, penting untuk menghargai dan mengimbangi persekitaran supaya ekosistem alam semulajadi tidak terganggu malah usaha seperti itu perlu dipertingkat dan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Jika kita lalai, saya bimbang malapetaka yang sepatutnya dapat dielakkan mungkin boleh berlaku hingga meranapkan harapan masyarakat dan Negara,” katanya.

GREEN STATE 2020

Malacca Ventures Into Renewable Energy To Achive Status

MALACCA : Malacca is venturing into renewable energy as part of its vision to bear results by the next two years and the state government’s resolve and commitment on the “Go Green” by 2020.

Chief Minister Datuk Seri Mohd Ali Rustam said he wanted the green initiatives to bear results by the next two years and the state government’s resolve and commitment on the “Go Green” drive was best illustrated by the light green theme for the state’s official functions.

Mohd Ali told Bernama he envisioned the “Go Green” drive would change Malacca through five transformational efforts within two years.

The first and second transformation initiatives revolved around solar and wind energy, in which the harvesting of solar energy would be conducted on a big scale.

Mohd Ali said he was confident that within two years, Malacca could have a solar farm with hundreds of solar panels set up to generated electricity.

“By then Malacca should be able to generated enough electricity for its people ang the excess power will be supplied to other states through Tenaga Nasional Berhad’s grid. This will generated more revenue for the state,” he said.

The state government was also looking into the possibility of setting up windmills to generate electricity in Pulau Besar, a destination being developed into another tourist attraction in Malacca.

“However, the location for the windmills and solar panels will depend on feasibility studies,” he said.

He added that with the use of renewable energy like solar and wind, the long-term costs involved in generating electricity through conventional means could be reduced by 30%.

Mohd Ali said the third transformation initiative was to encourage people to utilize green technology in their daily lives.

The Chief Minister pointed out this transformation was already taking place now with more houses in the state had solar panels to generate electricity or heat.

“But I want to see every house in Malacca use solar panels within two years. I also want to see traditional houses in the state have the same equipment, like what are we trying to do at the Hang Tuah Village,” he added.

iGREET KONGSI IDEA TEKNOLOGI HIJAU


Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Teknologi Hijau sebagai antara pemacu baru untuk ekonomi negara, Cyberjaya diberi penghormatan sebagai perintis bandar raya hijau.

Ir. Hafidz Hashim, Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd., pemilik tanah dan pemaju bandar raya siber perdana di Malaysia, berkata selaras dengan status baru ini siri seminar bulanan iGREET (Maklumat Mengenai Teknologi Hijau) diperkenal oleh syarikat.

“iGREET merupakan platform unggul bagi mereka yang berkepentingan untuk berkongsi idea mengenai bagaimana untuk mengambil kesempatan daripada infrastruktur hijau dan ekosistem holistik yang dapat ditawarkan oleh ekosistem Cyberjaya. iGREET juga merupakan peluang yang baik bagi para hadirin menjana peluang pernigaan dalam kalangan pemaju dan penyewa sedia ada di Cyberjaya,” katanya.

Seminar-seminar ini yang diadakan di Rumah Kelab Tasik Cyberjaya bertujuan memperkenalkan pelbagai kemungkinan teknologi hijau kepada para pemaju dan pemegang kepentingan di Cyberjaya.

“Siri iGREET diperkenal bukan sahaja kerana status baru kami sebagai bandar raya hijau perintis seperti yang disampaikan oleh kerajaan, tetapi juga sebagai inisiatif tersendiri untuk memperjuang tanggungjawab ekologi bandar raya siber terkemuka di Malaysia dan hab Korridor Raya Multimedia Malaysia,” tambah Hafidz.

Seminar iGREET ketiga yang diadakan baru-baru ini, mendedahkan bahawa majlis-majlis tempatan boleh menjimatkan sehingga RM2.5 juta setiap tahun dalam bil utiliti untuk setiap 300 lampu jalan menggunakan penyelesaian bersepadu pemantauan penggunaan kuasa.

Seorang penceramah jemputan, Sumit Geol dari KLG Systel Ltd., rakan teknologi Lucid Energy Sdn. Bhd., menunjukkan bahawa sistem pengurusan pintar kuasa ConnectGaia yang digunakan untuk mengawal lampu jalan di Mumbai, India, telah membantu mengoptimum penggunaan kuasa.

“Pengurusan aktif bekalan kuasa boleh dilakukan dari jauh, dan boleh menambah baik dengan signifikan kos infrastruktur kediaman, komersial, dan metropolitan. Sebagai contoh, menghidupkan berselang lampu jalan di luar waktu puncak trafik boleh dengan segera mengurangkan penggunaan kuasa sehingga separuh,” kata Geol.

Siri iGREET sebelum itu mendalami topik seperti mengumpul air bukan kumbahan, dan rawatan serta penggunaan semula, penyelesaian pencahayaan LED yang cekap dari segi tenaga, dan pengurusan bahan buangan organik bagi penyelesaian penjanaan kuasa dan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Sesi ketiga ini juga menampilkan K.C. Low, naib presiden perniagaan IT Schneider Electric bagi Malaysia dan Thailand yang mengadakan demonstrasi sistem pengurusan kecekapan tenaga dan penyejukan di pusat-pusat data.

Penyampaian APC menunjukkan pembaziran hingga 50 peratus tenaga di pusat data konvensional dalam menyediakan kuasa dan penyejukan, dan penggunaan penyelesaian APC yang boleh diskala, dapat meningkatkan kecekapan sehingga 95 peratus.

Penyelesaian-penyelesaian APC kini dilaksanakan di Basis Bay, sebuah pembekal khidmat penyumberan luar IT terkemuka dan pusat data di Cyberjaya yang memberi khidmat kepada lebih 300 pelanggan tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Augustine Koh dari Green Purchasing Network Malaysia memberi gambaran mengenai sistem Kitaran Semula Wongpanit di Thailand yang inovatif dan sangat berjaya, satu model berpotensi bagi Cyberjaya sebagai bandar raya hijau perintis.

Yuso Yamada dari Yasui Architects and Engineers juga menunjukkan beberapa kemungkinan mengubahsuai pelbagai bangunan sedia ada di Cyberjaya untuk mencapai sekurang-kurangnya status perak GBI.

Para peserta juga melawat tapak Pusat Khidmat Shell, bangunan ulung di Cyberjaya yang menerima sijil Emas Kepimpinan dalam Tenaga dan Rekabentuk Alam Sekitar (LEED). Satu penyampaian akan rekabentuk dan pembinaan mesra alam disampaikan oleh Jeffery Ling, pengarah firma arkitek – Architects61.

Siri seminar sehingga ini menyaksikan minat yang baik daripada kalangan pemegang kepentingan, pemaju dan penyewa di Cyberjaya.

Katanya sebagai bandar raya siber yang canggih dari segi inovasi dan teknologi, Cyberjaya dijangka menjadi tuan rumah pembangunan komersial, kediaman, perniagaan dan institusi menggunakan teknologi-teknologi lestari yang boleh memperkukuh sentimen pelabur dan penyewa ke arah empat tonggak Cyberview – menjadi tempat untuk hidup, belajar, bekerja dan bergembira. - BERNAMA

REVOLUSI “GO GREEN” MELAKA DALAM MASA DUA TAHUN

Selepas diisytihar sebagai negeri maju pada 20 oktober, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan visi beliau menjadikan Melaka “Negeri Hijau” menjelang 2020.

Ketika menjelaskan lanjut usaha hijaunya kepada Bernama, Ketua Menteri yang berpandangan jauh ini bukan sahaja menceritakan beberapa inisiatif untuk merialisasikan matlamatnya menjadikan Melaka Negeri Hijau dalam tempoh sedekad ini, tetapi juga menarik perhatian kepada usaha hijau yang sedang dilaksanakan.

Mohd Ali mahu melihat inisiatif ini menampakkan hasil dalam masa sesingkat dua tahun dan semangat dan komitmen kerajaan negeri boleh dilihat apabila menggunakan warna hijau pucuk pisang sebagai warna tema untuk majlis rasmi anjuran kerajaan negeri.

Dalam temu bual itu, Mohd Ali membayangkan penggunaan teknologi hijau akan merubah wajah Melaka melalui lima transformasi dalam masa dua tahun.

Menuai Tenaga Solar Dan Angin

“Saya mahu lihat kita manfaatkan dulu tenaga solar, di nagara-negara yang membangunkan teknologi hijau yang saya lawati, tenaga solar merupakan antara tenaga utama yang mereka manfaatkan,” katanya.

Dengan kenyataan itu tidak hairanlah inisiatif transformasi pertama dan kedua Mohd Ali berkisar kepada pembangunan tenaga solar dengan transformasi pertama melibatkan usaha “menuai” tenaga solar secara besar-besaran.

Mohd Ali yakin dalam masa dua tahun, Melaka dapat membangunkan sebuah “solar farm” di mana kawasan ini akan didirikan panel solar dalam kuantiti yang banyak dam mampu menuai tenaga solar untuk menjana tenaga elektrik.

“Masa itu Melaka akan dapat membekalkan tenaga elektrik sendiri kepada rakyatnya dan jika ada lebih, kita boleh jual kepada negeri lain melalui grid Tenaga Nasional, ini boleh tambahkan pendapatan negeri pula,” katanya.

Aspek transformasi kedua melibatkan penuaian tenaga angin untuk menjana tenaga elektrik di negeri ini.

Kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan membina kincir angin untuk menjana elektrik di Pulau Besar, satu daripada pulau yang sedang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan di Melaka.

Bagaimanapun lokasi kincir angin dan panel solar ini bergantung kepada kesesuaian tempat dan ini bergantung kepada kajian yang sedang dilakukan, katanya.

Dengan penggunaan tenaga yang diperbaharui seperti solar dan angin, pengurangan pelbagai jenis kos jangka panjang yang terlibat dalam penjanaan tenaga elektrik yang boleh dikurangkan sehingga 30%.

Teknologi Hijau Dalam Kehidupan Seharian

Transformasi ketiga yang dibayangkan Mohd Ali ialah membangunkan teknologi hijau bagi membantu kehidupan seharian rakyat, menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan selesa.

Ketua Menteri itu berkata transformasi ini sudah pun dilakukan di mana rumah-rumah di negeri ini sudah mula dipasang panel solar sama ada untuk menjana tenaga elektrik atau tenaga haba.

“Tetapi saya hendak setiap rumah di Melaka guna panel solar dalam tempoh dua tahun, kita juga hendak lihat rumah tradisional Melaka ada panel solar di bumbung seperti yang kami cuba hendak buat di perkampungan Hang Tuah,” katanya.

Perkampungan Hang Tuah di Duyong di sini ialah kawasan kampung asal Laksamana Hang Tuah dan bakal dibangunkan dengan bertunjangkan teknologi hijau untuk menjadi satu lagi produk pelancongan yang bakal menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

Transformasi keempat pula melibatkan pengangkutan di Melaka dengan teknologi hijau atau kenderaan hybrid menguasai bilangan di jalan raya.

Kenderaan hybrid menggunakan dua kuasa enjin untuk bergerak seperti petrol-elektrik, petrol-hidrogen dan diesel-elektrik. Kenderaan jenis ini telah digunakan di serata dunia.

“Melaka sudah mula mengorak langkah ke arah ini dan satu satu daripada projek kami ialah pembangunan monorel di Sungai Melaka, beberapa kenderaan tradisional seperti beca dipasang dengan panel solar,” katanya.

Tenaga Hijau Satu Perniagaan

Transformasi kelima ialah mewujudkan lebih ramai usahawan yang terlibat dalam penghasilan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi hijau di negeri ini.

Projek lembah solar di Rembia, Alor Gajah merupakan perintis dalam usaha ini dengan Sunpower (M) Sdn. Bhd. merupakan syarikat pertama yang akan membina fasiliti pengeluaran panel solar bernilai RM2.5 billion di kawasan seluas 144 hektar.

“Apabila Sunpower sudah mula menghasilkan (panel solar), saya mahu ada syarikat tempatan yang boleh beli panel solar ini dan menyediakan perkhidmatan memasang panel solar di rumah-rumah, jika ada yang boleh bangunkan terus “solar farm” lagi bagus,” katanya.

Menurut Mohd Ali, peluang untuk maju sebagai usahawan teknologi hijau di negeri ini terbentang luas, usahawan perlu pantas mengambil peluang ini dan bukannya hanya menunggu “disorongkan dengan bantal”.

Mengakhiri perbualan dengan penulis, sambil tersenyum Mohd Ali berkata “ visi saya untuk memajukan Melaka dengan teknologi hijau ini banyak, tetapi saya perlukan bantuan daripada rakyat di negeri ini untuk menjadikan visi ini satu realiti,” katanya. - BERNAMA

IMIEV MESRA ALAM SEKITAR


Mitsubishi meneruskan usaha menjaga alam sekitar dengan menghasilkan kenderaan berasaskan alam sekitar dengan menghasilkan kenderaan berasaskan tenaga elektrik yang dikenali sebagai Imiev.

Bagaimanapun, model terbaru Mitsubishi itu tidak dapat dipasarkan di nagara ini dalam tempoh terdekat kerana masalah kekurangan kemudahan untuk kenderaan tersebut.

Penolong Ketua Komunikasi Jenama Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd., Carmen Lim berkata, Imiev telah digunakan secara meluas di Jepun dan beberapa Negara Eropah.

Katanya, kenderaan yang menggunakan tenaga elektrik itu dapat mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar yang disebabkan oleh penggunaan petrol dan diesel kenderaan.

“Kami telah membawa sebuah kenderaan menggunakan elektrik yang dikenali sebagai Mitsubishi Imiev dari Jepun untuk menguji kesesuaian penggunaan kenderaan itu di negara ini.

“Kami juga sememangnya bercadang memasarkan Imiev di negara ini tetapi bukan dalam masa terdekat kerana ia memerlukan masa untuk menjalankan kajian serta mengambil kira banyak faktor sebelum benar-benar boleh dipasarkan,” katanya ketika ditemui di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Menurut Carmen, kekurangan kemudahan untuk kenderaan menggunakan tenaga elektrik menjadi antara faktor utama ia masih tidak dapat dipasarkan.

Katanya, ketiadaan kemudahan seperti stesen bagi menjana semula tenaga elektrik yang telah digunakan menjadi satu masalah besar kepada usaha memasarkannya.

Di Jepun dan negara Eropah lain, perkhidmatan penjanaan semula tenaga elektrik seperti stesen minyak petrol disediakan untuk kenderaan ini.

“Ia memudahkan pergerakan kenderaan tersebut dan ia merupakan antara punca utama mengapa kenderaan elektrik masih tidak boleh dipasarkan di Malaysia. Kita tiada kemudahan seperti itu,” jelasnya.

Bagaimanapun, Carmen berkata, kajian sedang berjalan dan pihaknya juga ada mengadakan perbincangan dengan kerajaan berkenaan idea untuk membangunkan kenderaan berasaskan penggunaan tenaga elektrik yang lebih mesra alam sekitar.

Selain itu, katanya, kenderaan menggunakan tenaga elektrik seperti Imiev juga boleh menjadi alternative kepada penggunaan petrol.

Ricoh Perkenal Dakwat Biomass Lebih Mesra Alam

Ricoh Malaysia memperkenalkan satu lagi inisiatif dalam usaha memulihara alam sekitar dengan menawarkan dakwat pencetak daripada bahan mentah biomass yang mengguna pakai resin berasaskan tumbuh-tumbuhan sebagai komponen utama.

Menerusinya, Ricoh tidak lagi bergantung kepada dakwat yang menggunakan resin petroleum tetapi digantikan dengan dakwat berasaskan biomass dengan peratusan kandungan ‘for E Tonner’ 25 peratus.

Namun pengguna tidak perlu bimbang dengan kualitinya kerana ia hampir sama dengan dakwat berasaskan petroleum yang member kesan buruk kepada alam sekkitar.

Dakwat biomass itu mempunyai keupayaan pengecas dan kecairan yang menepati tahap piawaian bagi memberikan prestasi optimum untuk pengguna memperoleh cetakkan imej yang seperti mana dakwat konvensional.

Penggunaan dakwat biomass secara berterusan mampu memberikan kesan yang efektif dalam usaha mengurangkan pencemaran alam khususnya apabila ia menggunakan petroleum yang lebih rendah.

Kesannya akan dapat dilihat apabila ia membebaskan kandungan karbon dioksida yang lebih rendah ketika pembakaran dakwat terpakai berbanding dakwat yang menggunakan kandungan resin petroleum.

Pengarah Urusannya, Lim Eng Weng, berkata Ricoh sudah mula mengkaji dan membangunkan teknologi dakwat biomass itu sejak beberapa tahun lalu atas kesedaran ingin mengurangkan kebergantungan kepada sumber mineral asli bumi khususnya petroleum.

Setiap tahun, lebih 200, 000 tan dakwat pencetak dihasilkan di seluruh dunia bagi memenuhi keperluan pengguna dan resin adalah komponen utama yang mewakili 80 peratus daripada jumlah dakwat yang dihasilkan itu.

Dalam proses kitar semula kertas, dakwat terpakai akan ditapis dan diasingkan untuk dibakar, justeru, penggunaan resin berasaskan petroleum akan memberikan kesan buruk kepada alam sekitar dengan pembebasan karbon dioksida yang tinggi.

KEMPEN KITAR SEMULA E-WASTE

Tahukah Anda ?



Kebanyakan mentol lampu, samada jenis pijar (incandent), berpendaflour (fluorescent) ataupun berpendaflour kompak mempunyai sedikit cecair merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang boleh mencemarkan tanah dan air bawah tanah.


Opportunity Green