Logo RAS - New

Logo RAS - New

December 28, 2010

REVOLUSI “GO GREEN” MELAKA DALAM MASA DUA TAHUN

Selepas diisytihar sebagai negeri maju pada 20 oktober, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan visi beliau menjadikan Melaka “Negeri Hijau” menjelang 2020.

Ketika menjelaskan lanjut usaha hijaunya kepada Bernama, Ketua Menteri yang berpandangan jauh ini bukan sahaja menceritakan beberapa inisiatif untuk merialisasikan matlamatnya menjadikan Melaka Negeri Hijau dalam tempoh sedekad ini, tetapi juga menarik perhatian kepada usaha hijau yang sedang dilaksanakan.

Mohd Ali mahu melihat inisiatif ini menampakkan hasil dalam masa sesingkat dua tahun dan semangat dan komitmen kerajaan negeri boleh dilihat apabila menggunakan warna hijau pucuk pisang sebagai warna tema untuk majlis rasmi anjuran kerajaan negeri.

Dalam temu bual itu, Mohd Ali membayangkan penggunaan teknologi hijau akan merubah wajah Melaka melalui lima transformasi dalam masa dua tahun.

Menuai Tenaga Solar Dan Angin

“Saya mahu lihat kita manfaatkan dulu tenaga solar, di nagara-negara yang membangunkan teknologi hijau yang saya lawati, tenaga solar merupakan antara tenaga utama yang mereka manfaatkan,” katanya.

Dengan kenyataan itu tidak hairanlah inisiatif transformasi pertama dan kedua Mohd Ali berkisar kepada pembangunan tenaga solar dengan transformasi pertama melibatkan usaha “menuai” tenaga solar secara besar-besaran.

Mohd Ali yakin dalam masa dua tahun, Melaka dapat membangunkan sebuah “solar farm” di mana kawasan ini akan didirikan panel solar dalam kuantiti yang banyak dam mampu menuai tenaga solar untuk menjana tenaga elektrik.

“Masa itu Melaka akan dapat membekalkan tenaga elektrik sendiri kepada rakyatnya dan jika ada lebih, kita boleh jual kepada negeri lain melalui grid Tenaga Nasional, ini boleh tambahkan pendapatan negeri pula,” katanya.

Aspek transformasi kedua melibatkan penuaian tenaga angin untuk menjana tenaga elektrik di negeri ini.

Kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan membina kincir angin untuk menjana elektrik di Pulau Besar, satu daripada pulau yang sedang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan di Melaka.

Bagaimanapun lokasi kincir angin dan panel solar ini bergantung kepada kesesuaian tempat dan ini bergantung kepada kajian yang sedang dilakukan, katanya.

Dengan penggunaan tenaga yang diperbaharui seperti solar dan angin, pengurangan pelbagai jenis kos jangka panjang yang terlibat dalam penjanaan tenaga elektrik yang boleh dikurangkan sehingga 30%.

Teknologi Hijau Dalam Kehidupan Seharian

Transformasi ketiga yang dibayangkan Mohd Ali ialah membangunkan teknologi hijau bagi membantu kehidupan seharian rakyat, menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan selesa.

Ketua Menteri itu berkata transformasi ini sudah pun dilakukan di mana rumah-rumah di negeri ini sudah mula dipasang panel solar sama ada untuk menjana tenaga elektrik atau tenaga haba.

“Tetapi saya hendak setiap rumah di Melaka guna panel solar dalam tempoh dua tahun, kita juga hendak lihat rumah tradisional Melaka ada panel solar di bumbung seperti yang kami cuba hendak buat di perkampungan Hang Tuah,” katanya.

Perkampungan Hang Tuah di Duyong di sini ialah kawasan kampung asal Laksamana Hang Tuah dan bakal dibangunkan dengan bertunjangkan teknologi hijau untuk menjadi satu lagi produk pelancongan yang bakal menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

Transformasi keempat pula melibatkan pengangkutan di Melaka dengan teknologi hijau atau kenderaan hybrid menguasai bilangan di jalan raya.

Kenderaan hybrid menggunakan dua kuasa enjin untuk bergerak seperti petrol-elektrik, petrol-hidrogen dan diesel-elektrik. Kenderaan jenis ini telah digunakan di serata dunia.

“Melaka sudah mula mengorak langkah ke arah ini dan satu satu daripada projek kami ialah pembangunan monorel di Sungai Melaka, beberapa kenderaan tradisional seperti beca dipasang dengan panel solar,” katanya.

Tenaga Hijau Satu Perniagaan

Transformasi kelima ialah mewujudkan lebih ramai usahawan yang terlibat dalam penghasilan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi hijau di negeri ini.

Projek lembah solar di Rembia, Alor Gajah merupakan perintis dalam usaha ini dengan Sunpower (M) Sdn. Bhd. merupakan syarikat pertama yang akan membina fasiliti pengeluaran panel solar bernilai RM2.5 billion di kawasan seluas 144 hektar.

“Apabila Sunpower sudah mula menghasilkan (panel solar), saya mahu ada syarikat tempatan yang boleh beli panel solar ini dan menyediakan perkhidmatan memasang panel solar di rumah-rumah, jika ada yang boleh bangunkan terus “solar farm” lagi bagus,” katanya.

Menurut Mohd Ali, peluang untuk maju sebagai usahawan teknologi hijau di negeri ini terbentang luas, usahawan perlu pantas mengambil peluang ini dan bukannya hanya menunggu “disorongkan dengan bantal”.

Mengakhiri perbualan dengan penulis, sambil tersenyum Mohd Ali berkata “ visi saya untuk memajukan Melaka dengan teknologi hijau ini banyak, tetapi saya perlukan bantuan daripada rakyat di negeri ini untuk menjadikan visi ini satu realiti,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!

KEMPEN KITAR SEMULA E-WASTE

Tahukah Anda ?



Kebanyakan mentol lampu, samada jenis pijar (incandent), berpendaflour (fluorescent) ataupun berpendaflour kompak mempunyai sedikit cecair merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang boleh mencemarkan tanah dan air bawah tanah.


Opportunity Green