Logo RAS - New

Logo RAS - New

December 28, 2010

iGREET KONGSI IDEA TEKNOLOGI HIJAU


Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Teknologi Hijau sebagai antara pemacu baru untuk ekonomi negara, Cyberjaya diberi penghormatan sebagai perintis bandar raya hijau.

Ir. Hafidz Hashim, Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd., pemilik tanah dan pemaju bandar raya siber perdana di Malaysia, berkata selaras dengan status baru ini siri seminar bulanan iGREET (Maklumat Mengenai Teknologi Hijau) diperkenal oleh syarikat.

“iGREET merupakan platform unggul bagi mereka yang berkepentingan untuk berkongsi idea mengenai bagaimana untuk mengambil kesempatan daripada infrastruktur hijau dan ekosistem holistik yang dapat ditawarkan oleh ekosistem Cyberjaya. iGREET juga merupakan peluang yang baik bagi para hadirin menjana peluang pernigaan dalam kalangan pemaju dan penyewa sedia ada di Cyberjaya,” katanya.

Seminar-seminar ini yang diadakan di Rumah Kelab Tasik Cyberjaya bertujuan memperkenalkan pelbagai kemungkinan teknologi hijau kepada para pemaju dan pemegang kepentingan di Cyberjaya.

“Siri iGREET diperkenal bukan sahaja kerana status baru kami sebagai bandar raya hijau perintis seperti yang disampaikan oleh kerajaan, tetapi juga sebagai inisiatif tersendiri untuk memperjuang tanggungjawab ekologi bandar raya siber terkemuka di Malaysia dan hab Korridor Raya Multimedia Malaysia,” tambah Hafidz.

Seminar iGREET ketiga yang diadakan baru-baru ini, mendedahkan bahawa majlis-majlis tempatan boleh menjimatkan sehingga RM2.5 juta setiap tahun dalam bil utiliti untuk setiap 300 lampu jalan menggunakan penyelesaian bersepadu pemantauan penggunaan kuasa.

Seorang penceramah jemputan, Sumit Geol dari KLG Systel Ltd., rakan teknologi Lucid Energy Sdn. Bhd., menunjukkan bahawa sistem pengurusan pintar kuasa ConnectGaia yang digunakan untuk mengawal lampu jalan di Mumbai, India, telah membantu mengoptimum penggunaan kuasa.

“Pengurusan aktif bekalan kuasa boleh dilakukan dari jauh, dan boleh menambah baik dengan signifikan kos infrastruktur kediaman, komersial, dan metropolitan. Sebagai contoh, menghidupkan berselang lampu jalan di luar waktu puncak trafik boleh dengan segera mengurangkan penggunaan kuasa sehingga separuh,” kata Geol.

Siri iGREET sebelum itu mendalami topik seperti mengumpul air bukan kumbahan, dan rawatan serta penggunaan semula, penyelesaian pencahayaan LED yang cekap dari segi tenaga, dan pengurusan bahan buangan organik bagi penyelesaian penjanaan kuasa dan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Sesi ketiga ini juga menampilkan K.C. Low, naib presiden perniagaan IT Schneider Electric bagi Malaysia dan Thailand yang mengadakan demonstrasi sistem pengurusan kecekapan tenaga dan penyejukan di pusat-pusat data.

Penyampaian APC menunjukkan pembaziran hingga 50 peratus tenaga di pusat data konvensional dalam menyediakan kuasa dan penyejukan, dan penggunaan penyelesaian APC yang boleh diskala, dapat meningkatkan kecekapan sehingga 95 peratus.

Penyelesaian-penyelesaian APC kini dilaksanakan di Basis Bay, sebuah pembekal khidmat penyumberan luar IT terkemuka dan pusat data di Cyberjaya yang memberi khidmat kepada lebih 300 pelanggan tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Augustine Koh dari Green Purchasing Network Malaysia memberi gambaran mengenai sistem Kitaran Semula Wongpanit di Thailand yang inovatif dan sangat berjaya, satu model berpotensi bagi Cyberjaya sebagai bandar raya hijau perintis.

Yuso Yamada dari Yasui Architects and Engineers juga menunjukkan beberapa kemungkinan mengubahsuai pelbagai bangunan sedia ada di Cyberjaya untuk mencapai sekurang-kurangnya status perak GBI.

Para peserta juga melawat tapak Pusat Khidmat Shell, bangunan ulung di Cyberjaya yang menerima sijil Emas Kepimpinan dalam Tenaga dan Rekabentuk Alam Sekitar (LEED). Satu penyampaian akan rekabentuk dan pembinaan mesra alam disampaikan oleh Jeffery Ling, pengarah firma arkitek – Architects61.

Siri seminar sehingga ini menyaksikan minat yang baik daripada kalangan pemegang kepentingan, pemaju dan penyewa di Cyberjaya.

Katanya sebagai bandar raya siber yang canggih dari segi inovasi dan teknologi, Cyberjaya dijangka menjadi tuan rumah pembangunan komersial, kediaman, perniagaan dan institusi menggunakan teknologi-teknologi lestari yang boleh memperkukuh sentimen pelabur dan penyewa ke arah empat tonggak Cyberview – menjadi tempat untuk hidup, belajar, bekerja dan bergembira. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!

KEMPEN KITAR SEMULA E-WASTE

Tahukah Anda ?



Kebanyakan mentol lampu, samada jenis pijar (incandent), berpendaflour (fluorescent) ataupun berpendaflour kompak mempunyai sedikit cecair merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang boleh mencemarkan tanah dan air bawah tanah.


Opportunity Green