Logo RAS - New

Logo RAS - New

January 31, 2011

PERBANKAN HIJAU


Istilah ‘hijau’ sering digunakan untuk amalan dan produk yang mempunyai elemen sosial, etika dan mesra alam. Dalam bidang kewangan, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat kewangan, pengurusan aset dan insurans yang berorientasikan persekitaran digelar ‘hijau’. Sungguhpun syarikat-syarikat tersebut beroperasi ke arah keuntungan, tujuan perniagaan teras mereka telah mula berorientasikan prinsip kelestarian dan kepelbagaian biologi. Produk-produk berciri sedemikian telah berkembang dengan pesat. Ini menunjukkan bahawa penggabungan produk-produk kewangan dengan persekitaran dan mewujudkan ‘khidmat perbankan hijau’ adalah tidak mustahil. Banyak institusi kewangan di seluruh dunia telah mula memastikan bahawa keputusan program pinjaman mereka membantu untuk mengekang kemusnahan alam sekitar dalam jangkamasa panjang.

Produk dan Perkhidmatan Perbankan ‘Hijau’

Untuk memenuhi syarat sebagai produk dan perkhidmatan perbankan ‘hijau’, produk kewangan yang ditawarkan harus menyediakan pelanggan-pelanggan insentif yang jelas untuk mengurangkan kos tersembunyi aktiviti perbankan mereka.

Produk dan perkhidmatan perbankan ‘hijau’ adalah berkaitan dengan :

· Kredit pelepasan karbon

· Ciri-ciri perubahan iklim

· Mengimbangi gas rumah hijau

· Kriteria lain yang berkaitan cuaca

Walaupun manfaat secara keseluruhan dan langkah berterusan memerlukan jangka masa yang panjang untuk menilai, manfaat yang diharapkan yang boleh diperolehi melalui kegiatan ‘mesra alam’ tertentu digunakan sebagai penanda aras.

Produk dan perkhidmatan perbankan ‘hijau’

1. Retail banking

e.g. green home loans

2. Asset management

e.g. green investment funds

3. Corporate & investment banking

e.g. green project financing

4. Insurance

e.g. green auto insurance & green home & business insurance

Di United Kingdom, pembekal pinjaman rumah ‘hijau’ digalakkan untuk menawarkan satu atau lebih daripada ciri-ciri berikut :

· Kadar faedah yang kompetitif berbanding dengan produk sedia ada

· Insentif pengembalian tunai

· Pengecualian bayaran pemprosesan

Perbankan Hijau Di Serata Dunia

Malaysia

Institusi perbankan telah didesak untuk mengambil kira alam sekitar sebagai kriteria ketika menilai permohonan pinjaman perumahan. Pada tahun 2007, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu, Datuk Seri Azmi Khalid berkata pihak pemaju perumahan haruslah mempertimbangkan manfaat persekitaran semasa merancang projek pembinaan baharu untuk membantu negara menghadapi perubahan iklim dan pemanasan global.

Kanada

Pinjaman ‘hijau’ telah dilancarkan untuk membiayai pembelian peralatan jimat tenaga dan bahan-bahan yang digunakan dalam projek pembangunan kondominium baharu (Tridel, 2006).

Amerika Syarikat

Pada tahun 2007, Citigroup di Amerika Syarikat menandatangani perjanjian dengan Sharp Electronics Corporation untuk menawarkan pelanggan pilihan pembiayan yang mudah, murah dan selesa untuk membeli sistem elektrik kuasa solar.

Australia

Pada tahun 2003, Credit Union Mecu di Australia, mencipta sebuah pakej inovatif kewangan ‘Go Green’ untuk pinjaman kenderaan. Untuk setiap pinjaman, pihak bank akan meletakkan nilai kadar gas rumah hijau berdasarkan jenis kenderaan dan memberikan kadar faedah yang lebih rendah dan sesuai.

United Kingdom

Pada tahun 2006, Barclays (UK) melancarkan inisiatif “Wang dan Karbon” untuk menggalakkan pelanggan mengimbangi pelepasan karbon berkaitan dengan perjalanan udara. Kerjasama dengan organisasi Climate Care, Barclays mendirikan laman web untuk produk mereka dan dana digunakan untuk melabur dalam projek kecekapan tenaga, pemulihan hutan dan tenaga diperbaharui di negara membangun.

Eropah

Sejak tahun 1995, Bank Belanda mendapat manfaat daripada inisiatif ‘Green Fund’ yang diterajui oleh kerajaan. Dengan membeli saham dalam dana hijau atau melabur wang di dalam produk perbankan hijau, warga Belanda dikecualikan dari cukai (Capital Gains Tax) dan menerima 2.5% diskaun cukai pendapatan. Insurans ‘Pay as You Drive’ mendorong pemilik untuk mengurangkan kegunaan kenderaan dengan membayar premium insurans mengikut kadar kegunaan kenderaan.

Kesimpulan

Produk dan perkhidmatan perbankan ‘hijau’ masih di peringkat awal dan tahap kejayaannya masih belum diketahui. Hanya dengan data yang lebih lanjut mengenai produk-produk perbankan hijau, kita boleh mengetahui tahap pencapaiannya, daya tarikan pelanggan, kesinambungan dan kesan kesedaran.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!

KEMPEN KITAR SEMULA E-WASTE

Tahukah Anda ?



Kebanyakan mentol lampu, samada jenis pijar (incandent), berpendaflour (fluorescent) ataupun berpendaflour kompak mempunyai sedikit cecair merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang boleh mencemarkan tanah dan air bawah tanah.


Opportunity Green