Logo RAS - New

Logo RAS - New

January 20, 2011

REVOLUSI PERTANIAN MELALUI MIKROORGANISMA

Kebiasaanya mikroorganisma dikaitkan dengan penyebab penyakit tetapi hakikatnya terdapat banyak mikroorganisma yang memberi manfaat kepada manusia. Mikroorganisma yang berfaedah, dikenali sebagai ‘mikrob berfaedah’, memberi banyak kebaikan dalam pemuliharaan alam sekitar. Kini banyak formulasi mikrob berfaedah dijual secara komersial di pasaran untuk kegunaan dalam pertanian sama ada sebagai baja biologi, kawalan perosak tumbuhan, agen pereputan sisa pertanian, bahan nyah bau dan membantu menghadamkan makanan dalam perut haiwan ruminen.

Corak Pertanian Masa Kini

Corak pertanian masa kini adalah lanjutan dari ‘Revolusi Pertanian’ yang diketengahkan kerajaan sejak tahun 60-an. Corak ini menekankan peningkatan hasil pertanian melalui penggunaan baja sintetik dan bahan kimia pertanian. Walaupun corak ini memberikan peningkatan hasil segera dalam jangka masa pendek tetapi kesan jangka panjangnya adalah tidak lestari. Produk pertanian yang dihasilkan juga mengandungi zat makanan yang rendah berbanding hasil dari tanaman semula jadi. Ia juga mengandungi sisa-sisa kimia meskipun pada tahap yang rendah dan tidak membahayakan manusia dalam jangka masa pendek, tetapi dalam jangka masa panjang boleh menjejaskan kesihatan.

Pertanian masa kini juga tidak memberi penekanan terhadap biologi tanah (kehidupan dalam tanah). Biologi tanah adalah mustahak untuk mengekalkan kesuburan tanah atau selalu disebut sebagai ‘kesihatan tanah’. Penggunaan baja sintetik dan bahan kimia pertanian boleh membunuh hidupan dalam tanah dan rangkaian simbiosis makanan hidupan dalam tanah (soil food web). Pelbagai jenis hidupan terdapat dalam tanah. Ukuran saiz hidupan ini berbeza iaitu dari bakteria (satu sel), alga, fungi, protozoa, nematod, arthropod dan cacing tanah. Hidupan-hidupan ini memakan, membesar, membiak dan mati menjadikan tanah itu sihat dan persekitaran yang bersih.

Pertanian Biologi

Pertanian yang lestari dilihat sebagai satu sistem ekosistem di mana tanaman, tanah dan mikrob ‘hidup’ bersama di dalam satu sistem yang kompleks. Aktiviti dan input pertanian perlu menjurus ke arah mengaktifkan biologi tanah supaya menghasilkan bahan organik dan humus yang tinggi bagi menyokong pengeluaran hasil yang optimum. Persekitaran yang baik bagi mikrob ialah tanah di mana terdapat kandungan bahan karbon yang baik, struktur yang baik dan tanpa bahan kimia pertanian. Bahan organik dan bahan kompos seperti teh kompos dibaja ke tanah bagi menjadi makanan dan rumah kepada mikrob. Baja galian seperti baja kapur, batu fosfat, baja kalium tanpa klorin serta unsur-unsur surih dan foliage fertilizer diberi sebagai tambahan untuk menguatkan pokok. Inokula mikrob tambahan disembur dan diberi untuk meningkatkan populasi di tanah dan pada pokok.

Mikroorganisma mampu memberi banyak kebaikan terhadap tanaman :

· Mengikat nitrogen dari udara

· Melarutkan fosforus yang terikat dalam tanah

· Mengangkut kalium

· Mengeluarkan hormon penggalak tumbuhan

· Mengawal atau mencegah pertumbuhan bakteria dan kulat jahat

· Membekalkan vitamin, asid amino, enzim dan unsur surih kepada pokok

· Meningkatkan bahan organik dalam tanah

· Meningkatkan proses fotosintesis pada tanaman

Seorang professor holtikultur dari University of Ryukyus Okonawa, Jepun, Dr. Teruo Higa, merupakan seorang perintis dalam falsafah mikrob berfaedah. Beliau telah mengeluarkan produk, teknologi penggunaan dan falsafah penggunaan satu produk inokula mikrob berjenama EMTM (effective microorganisms).

Produk ini mengandungi :

· Bakteria fotosintetik

· Bakteria laktik asid

· Yis

· Aktinomycet

· Fungi penapaian

Dalam bukunya yang bertajuk ‘An Earth Saving Revolution’ diceritakan produk ini boleh dan telah digunakan dengan berkesan sebagai baja biologi dalam pertanian, pemuliharaan persekitaran dan perubatan. Kini penggunaannya telah tersebar secara meluas di Asia dan Eropah.

Komponen Komuniti Dalam Tanah

Megiabiota merangkumi vertebrata seperti ular, musang, tikus dan arnab yang kebanyakannya menggali tanah untuk mencari makanan dan sebagai tempat perlindungan.

Macrobiota (diameter >2mm) (contoh semut, anai-anai, labah-labah). Akar pokok juga selalunya dikira sebagai biota tanah.

Mesobiota (diameter 0.1 – 2.0mm) biasanya tinggal di dalam rongga tanah. Kumpulan ini kebanyakannya tergolong di bawah arthropoda mikro seperti gegat dan hamama.

Mikrobiota (diameter <0.1mm) terdapat dengan banyaknya, di merata tempat dan terdiri daripada pelbagai jenis. Mikroflora merangkumi alga, bakteria, fungi, yis yang boleh mengurai dan kebanyakannya bahan organik. Mikrofauna merangkumi nematod, protozoa turbelaria, tardigrad dan rotifer.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana mengikut blog ini.
Daftarlah sebagai ahli Rakan Alam Sekitar sekarang!

KEMPEN KITAR SEMULA E-WASTE

Tahukah Anda ?



Kebanyakan mentol lampu, samada jenis pijar (incandent), berpendaflour (fluorescent) ataupun berpendaflour kompak mempunyai sedikit cecair merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang boleh mencemarkan tanah dan air bawah tanah.


Opportunity Green